Selasa, 15 Disember 2015

APA ITU PERNIAGAAN FRANCAIS



                                 ASAS KEUSAHAWANAN

                                                             PERNIAGAAN FANCAIS  



1.0       PENDAHULUAN
Pada masa kini, perniagaan berbentuk francias telah diterima oleh kebanyakan Negara sebagai pemangkin utama dalam sektor pembangunan Industri Kecil Serdahana (IKS). Francias berasal dari bahasa Anglo-French iaitu kata dasar “Franc” atau “Franchising” yang bermaksud PERCUMA. Di mana tuan punya perniagaan digelar ” Francaiser” (Franchiser) dan peniaga yang menggunakan model perniagaan Francaiser digelar, ” Francaisi” (Franchisee).
Francais bermaksud satu bentuk pemasaran atau pengagihan di mana sebuah syarikat pemberi francais (francaisor) memberi kebenaran, hak atau keistimewaan kepada seseorang individu atau syarikat pemegang francais (francaisi) untuk menjalankan perniagaan mengikut tatacara yang ditentukan dalam jangkamasa tertentu dan pada lokasi yang ditentukan. 
Menurut Persatuan Francais Malaysia(MFA), dari sudut konsep komersial Francais adalah satu kaedah pemasaran yang berasaskan pemberian hak dan tanggungjawab bagi menjalankan sesuatu perniagaan menggunakan tanda nama atau tanda niaga, sistem, lokasi atau kawasan dan jangka masa yang ditentukan. Dari sudut perundangan (Akta Francais) pula, Francais adalah kontrak atau perjanjian sama ada secara nyata atau tersirat, secara lisan atau tertulis di antara 2 orang atau lebih di mana antaranya. Francaisor memberi francaisi hak untuk mengendalikan perniagaan mengikut sistem francais yang ditentukan oleh francaisor selama tempoh yang ditentukan oleh francaisor.

 Dengan kata lain francais adalah perkongsian perniagaan di antara pemilik produk (francaisor) dan pelabur (francaisi) di mana francaisor akan menyediakan produk dan sistem perniagaan manakala francaisi akan menyediakan modal dalam bentuk dana, sumber manusia dan usaha berterusan untuk memastikan kelangsungan perniagaan. Francais adalah satu amalan perniagaan di mana sebuah syarikat diberi hak untuk mengendalikan perniagaan serupa dengan sesuatu syarikat lain dengan menggunakan jenama, model dan operasi perniagaan syarikat berkenaan. Bagi pemilik perniagaan atau francaisor, francais merupakan alternatif untuk mengembangkan perniagaan melalui pelaburan pihak ketiga (francaisi). 

Perniagaan francais juga merupakan suatu pendekatan yang membuka jalan termudah bagi seseorang individu atau syarikat untuk menceburi dalam bidang perniagaan. Perniagaan francais meliputi semua jenis perniagaan berangkaian yang memenuhi ciri asas 3S iaitu sistem (system), pengkhususan (specialization), dan piawaian (standardization).  

Jenis-jenis industri francais adalah termasuk Francais pengedaran produk (secara convertion), Francais tanda nama (cap dagangan), Francais format perniagaan. Menurut Persatuan Francais Malaysia (MFA), francais jenis pengedaran produk merupakan syarikat persendirian yang sedia ada telah dipelawa untuk menjadi francaisi dalam rangkaian perniagaan francaisor. Francaisi akan menukar tanda nama dan cap dagangan dagangan kepada jenama francaisor. Contohnya, Syarikat Madani Greatlink Sdn.Bhd telah diberi hak oleh Proton Edar untuk menjual kereta nasional. 

 Selain itu, Francais jenis tanda nama(cap dagangan) pula dikawalselia oleh francaisor untuk memastikan kualiti dan nama baik francaisor terpelihara. Hak yang diberikan kepada francaisi menggunakan jenama, tanda nama, dan logo. Francaisi dalam cap dagangan ini tidak memerlukan konsep dan sistem perniagaan yang lengkap Contohnya, syarikat XYZ yang berjaya mendapatkan hak untuk menggunakan watak karton Doreamon dalam hiasan barangan ataupun makanan yang dijual.

Manakala, Francais jenis format perniagaan pula yang paling popular dan mendapat pengikhtirafan di bawah Program Pembagunan Francais anjuran kerajaan. Peniaga Francais jenis ini diberikan hak untuk menduplikasikan keseluruhan sistem perniagaan yang diamalkan oleh francaisor. Mereka biasanya terus mendapatkan hak menggunakan jenama dan mengedarkan produk yang ditawarkan. Industri francais jenis ini lebih mudah untuk menjalankan perniagaan kerana semuanya disediakan oleh francaisor. Francaisor mempunyai tanggungjawab untuk menyediakan semuanya yang berkaitan dengan perniagaan yang akan dijalankan oleh francaisi.



            Konsep perniagaan ini adalah boleh di dominasi dalam berbagai cara. Pada prinsipnya ia merupakan satu hubungan perniagaan secara kontrak di antara dua pihak (francaisor dan francaisi) yang ditubuhkan untuk mengagihkan atau mengedarkan barangan dan perkhidmatan melalui "outlets" tertentu untuk satu jangkamasa yang ditentukan atau tiada had jangkamasa. Ianya berdasarkan satu perjanjian di mana francaisor menganugerahkan francaisi hak untuk menggunakan berbagai proses alat kelengkapan, sistem beroperasi dan nama baik (goodwill) francaisor di dalam mengeluar, menjual dan mengedarkan barangan dari jenama (trademark) perniagaan tertentu.

Oleh sebab kedua-dua pihak secara ekonominya adalah saling bergantung antara satu sama lain meskipun mereka adalah "business entity" yang berasingan maka, francaisor perlu membekalkan kepada francaisi dengan kepakaran mengelolakan perniagaan melalui latihan dan penyediakan manual operasi yang komprehensif. Francaisor dan francaisi adalah bersama-sama mengawal kualiti barangan dan prosedur beroperasi demi nama baik tanda niaga.








2.0       SEJARAH PEMBANGUNAN INDUSTRI FRANCAIS PADA PERINGKAT GLOBAL DAN MALAYSIA

Francais adalah satu sistem perniagaan yang dikatakan bermula di Eropah dan dikembangkan dengan pesatnya di Amerika Syarikat lebih 100 tahun yang lalu. Perkataan francais adalah berasal daripada perkataan Perancis, franco yang bermaksud kebebasan. Pada ketika itu, seseorang francaisi adalah merupakan orang penting yang diberi hak dan kebebasan bagi sesuatu wilayah tertentu untuk memastikan pelaksanaan arahan dan peraturan, termasuk membuat penilaian dan memungut cukai.

 Konsep dan pendekatan ini akhirnya diterima-pakai di dalam sektor swasta dan komersial. Sistem francais kemudiannya menjadi popular dan dianggap sebagai satu penemuan global yang inovatif dalam strategi pemasaran, yang melangkaui keperluan pengguna dan sempadan negara. Sebagaimana yang dinyatakan oleh pengarang Megatrends, John Naisbitt, franchising is the single most successful marketing concept ever (sistem francais adalah satu-satunya konsep pemasaran yang paling berjaya). 

            McCormick Harvesting Machine Company dan Singer Sewing Machine Company telah memulakan sistem francais di dalam pengedaran barangan mesin jahit keluaran syarikat mereka di sekitar tahun 1850-an. Ini diikuti oleh General Motors bagi industri automotif di Amerika Syarikat yang menjalankan pemasaran kereta menerusi pelantikan pengedar francais di awal 1900-an. Senario ini diteruskan dengan penemuan yang dianggap klasik, McDonalds oleh Ray Kroc pada tahun 1955, memulakan sejarah moden sistem perniagaan francais.

Berdasarkan kajian yang dilakukan di Amerika Syarikat, 96 peratus daripada rakyat Amerika telah mengunjungi Restoran McDonalds sekurang-kurangnya sekali dan sekurang-kurangnya 8% daripada mereka sedang atau telah menikmati hidangan McDonalds untuk hari ini. Lebih separuh daripada penduduk Amerika tinggal di sekitar 5 kilometer daripada Restoran McDonalds, dan sejak 40 tahun kebelakangan ini McDonalds telah mengambil 16 juta orang pekerja di mana akhir-akhir ini syarikat berkenaan telah mengatasi U.S Army di dalam melatih jumlah belia yang terbesar iaitu hampir 700,000 belia setiap tahun. 

Secara umumnya, Industri francais Malaysia menunjukkan perkembangan positif kerana menembusi pasaran global dan mampu bersaing dalam pasaran antarabangsa apabila 59 produk tempatan berjaya mengembangkan perniagaan di 53 buah negara. Menurut Setiausaha Agung Persatuan Francais Malaysia (MFA), Mohamad Shukri Salleh berkata, setakat ini sebanyak 1,992 rangkaian outlet perniagaan francais tempatan di luar negara antaranya Marry Brown, Nelson dan Secret Recipe Cakes and Cafe. Kerajaan Malaysia memberikan fokus kepada pembangunan industri francais di Malaysia sejak di bawah kepimpinan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mengorak langkah memperkenalkan francais pada 1993. 

Menurut Persatuan Francais Malaysia(MFA), Program Pembangunan Francais mula diperkenalkan pada Ogos 1992 di Malaysia, Pembangunan Negara menetapkan unit penyelaras dan perlaksanaan (UPP) di bawah Jabatan Perdana Menteri untuk bertindak sebagai pusat francais setempat.

Pada Mei 1995, bahagian pembangunan Francais UPP iaitu Jabatan Perdana Menteri(JPM) mula dipindahkan ke Kementerian Pembangunan Usahawan sebagai Bahagian Francais dan Vendor. Mengikut sumber daripada Bahagian Pembangunan Francais, KPDNKK sehingga 16 Julai 2012 telah mencatatkan sebanyak 426 produk Francais diperkembangkan di dalam Negara (Francaisor) iaitu mencatatkan 64% daripada keseluruhannya manakala produk Francais luar negara (Francaisi Induk dan Francaisi) adalah sebanyak 240 iaitu 36% daripada jumlah keseluruhan produk Francais ini. Kerajaan melalui kementerian dan pelbagai agensi terlibat menganjurkan pelbagai program setiap tahun mempromosikan jenama tempatan di pasaran antarabangsa.

Usahawan francais perlu memanfaatkan platform itu untuk memudahkan mereka mengenali lebih dekat peluang pasaran dan persekitaran sesebuah negara. Kerajaan akan membantu usahawan francais ke luar negara. Kerajaan memberikan maklumat dan sokongan tambahan apabila berada di pasaran luar. Dalam perniagaan francais, hubungan dan kerjasama penting untuk terus berdaya saing di pasaran tempatan dan antarabangsa.



3.0       SISTEM SOKONGAN KEWANGAN DAN BUKAN KEWANGAN YANG DIBERI OLEH KERAJAAN DAN BUKAN KERAJAAN KEPADA INDUSTRI FRANCIAS

Kerajaan, agensi dan badan bukan kerajaan dilihat banyak memberi sokongan kepada pembangunan francais dalam memastikan industri francais di Malaysia berkembang selari dengan perkembangan negara menuju negara maju 2020. Kerajaan banyak menyediakan program-program latihan dan bantuan kewangan melalui bahagian pembangunan francais dibawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) yang bertujuan untuk membangunkan usahawan bumiputera di dalam industri francais.

Di antara bantuan berbentuk kewangan oleh kerajaan kepada industri francais ialah melalui Program Pembangunan Produk Francais Tempatan (PPFT), Dana Bantuan Perniagaan Francais (DBPF), Program Francais Mikro dan Skim Pinjaman Kecil Francais (SPKF). Melalui dana Program Pembangunan Produk Francais Tempatan (PPFT) yang bertujuan membantu usahawan perniagaan konvensional menukar sistem perniagaan kepada francais.

Dengan itu, kerajaan menyediakan pinjaman pembiayaan sebanyak RM120,000 bagi sebuah syarikat. Dana Bantuan Perniagaan Francais (DBPF) disediakan untuk membiaya pembangunan sistem francais secara matching grant dimana kerajaan menyediakan dana pembiayaan sehingga RM100,000 bagi syarikat milik penuh Bumiputera, sehingga RM65,000 bagi syarikat majoriti Bumiputera dan sehingga RM50,000 untuk syarikat Bukan Bumiputera dan majoriti Bukan Bumiputera.

Namun begitu kerajaan menetapkan kelayakan pembiayaan kepada syarikat tempatan yang telah berdaftar di bawah Seksyen 6, Akta Francais 1998 dan Syarikat berdaftar di bawah Program Pembangunan Francais di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) sahaja. Program Francais Mikro diwujudkan bagi membangunkan francais mikro dengan pakej francais yang ditawarkan oleh francaisor tempatan berjumlah RM50,000 ke bawah dimana ia memberi peluang kepada golongan berpendapatan sederhana dan rendah menceburi bidang keusahawanan sebagai francaisi.

 Selain itu, ia turut membantu francaisor tempatan mengembangkan perniagaan dengan memperkenalkan konsep modal yang kecil. Skim Pinjaman Kecil Francais (SPKF) diwujudkan bagi memberi bantuan kewangan kecil (micro Franchising) kepada Francaisi Tempatan yang berpendapatan rendah dan sederhana dengan pinjaman maksimum sehingga RM50,000. Selain dari bantuan kewangan, kerajaan juga menyedia pelan pembangunan industri francais. Lapan program latihan francais bagi tahun 2005 telah disediakan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dengan kerjasana Persatuan Francais Malaysia.

Latihan tersebut ialah Kursus Asas Francais yang memberikan  pendedahan mengenai aspek-aspek asas perniagaan francais dan juga cara-cara penilaian yang mana penting untuk bakal francaisi. Kursus Susulan Untuk Bakal Franchaisi diadakan sebagai sebahagian dari ‘match-making program’, dimana kursus ini dibuka kepada sesiapa yang telah menghadiri Kursus Asas Francais dengan tujuan untuk membantu bakal francaisi dari segi program pembangunan bisnes, permohonan untuk menjadi francaisi, dan juga panduan untuk mendapatkan bantuan kewangan. Program Latihan Francaisi dijalankan bagi memberi motivasi dan membantu francaisi yang sedia ada dalam meningkatkan operasi perniagaan harian mengikut jadual, keutamaan dan juga teknik pengurusan secara keseluruhan. Program Pembangunan Untuk Bakal Francaisor dijalankan bagi memperkenalkan usahawan dengan konsep francais dan mengembangkan perniagaan.

 Selain itu juga bertujuan meluaskan kemahiran yang diperlukan oleh bakal francaisor dari segi persediaan, keutamaan dan teknik pengurusan secara keseluruhan. Kursus Pengukuhan Untuk Francaisor dibangunkan berdasarkan kepada keperluan dan kehendak francaisor. Ianya bagi mempersiapkan francaisor dalam membangunkan persekitaran pengurusan, komunikasi yang sihat dan interaksi melalui perkongsian pengalaman tempatan dan luar negara di kalangan francaisi, pelanggan dan persekitaran yang lain.

Kursus Pembangunan Konsultan Francais dibangunkan untuk mewujudkan sebgai perunding perniagaan dan ejen perantara francais yang memberi bantuan dalam menyediakan cadangan perniagaan dan juga membentuk sistem dalam membangunkan perniagaan francais di Malaysia. Akta Seminar Francais 1998 diadakan dengan objektif utama untuk memberi pendedahan kepada orang awam dan pekerja mahir di dalam industri francais mengenai kepentingan Akta Francais 1998.

Selain memberi pendedahan kepada peserta ia juga bertujuan untuk mendapatkan maklum balas terhadap implikasi penguatkuasaan serta kesan Akta tersebut terhadap perniagaan. Program Perbincangan Francais bertindak sebagai forum perbincangan yang mensasarkan ahli-ahli bertukar dan mengumpul maklumat dan pengalaman. Pelan Induk Pembangunan Francais Nasional 2012 hingga 2016 diwujudkan dibawah seliaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) bertujuan untuk menetapkan hala tuju strategik yang menyeluruh bagi membangunkan sektor industri francais di Malaysia supaya sektor ini berdaya saing, efisien dan mampu memanfaatkan penggiat-penggiat industri francais negara.

Selain dari bantuan kerajaan, agensi dan badan bukan kerajaan turut mengambil berat mengenai industri francais di Malaysia. Diantara agensi dan badan bukan kerajaan yang menyumbang kepada pembangunan industri francais ialah Majlis Amanah Rakyat (MARA), Credit Guarantee Corporation Sdn Bhd, Bank Pembangunan Malaysia Berhad, Malayan Banking Berhad (MAYBANK), CIMB Bank Berhad (CIMB), Malaysian Franchise Associations (MFA), Perbadanan Nasional Berhad, Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB), SME Corporation Malaysia. Agensi dan badan bukan kerajaan ini banyak memberi sumbangan seperti latihan dan khidmat nasihat, bantuan kewangan serta premis perniagaan. Keutamaan bantuan oleh agensi dan badan bukan kerajaan lebih memberi keutamaan kepada usahawan bumiputera.

 

 

4.0       CABARAN/HALANGAN YANG DIHADAPI FRANCAIS DAN FRANCAISOR DI MALAYSIA

4.1        Modal yang diperlukan amat tinggi.

Kos untuk mendapatkan hak menggunakan jenama dan bantuan dari francaisor adalah tinggi dan francaisi perlu membayar kos-kos seperti :-

4.1.1   Yuran Francais 

Dimana yuran francais adalah dalam satu jumlah yang besar dan tidak dikembalikan. Francaisi juga perlu membayar kos sewa, deposit, pembelian aset dan pengubahsuaian kedai.

4.1.2   Royalti Bulanan 

Royalti dibayar mengikut peratus jualan bulanan. Francaisi perlu membayar royalti walaupun tidak memperolehi keuntungan, walaupun francaisor tidak membantu perniagaan francaisi kerana francaisi menggunakan jenama francaisor tersebut. Di Malaysia, terdapat isu berkenaan bayaran royalti ini di mana agensi kerajaan iaitu Perbadanan Nasional Berhad (PNS) (badan bertindak untuk francais Malaysia) mengarahkan supaya pembayaran royalti tidak lebih dari 5% jumlah jualan bulanan francaisi.

4.1.3   Yuran Iklan

            Yuran iklan yang dibayar digunakan oleh francaisor untuk mengiklankan jenama produk atau perkhidmatan dan untuk menarik lebih ramai francaisi. Tetapi ianya mungkin tidak mempromosikan perniagaan francaisi tersebut. Tambahan, pelaburan modal permulaan perniagaan francais yang besar menjadikan bentuk perniagaan ini lebih eksklusif dan sukar untuk bakal usahawan menceburi dan memasuki pasaran seperti ini.


4.2      Tidak memberi kebebasan kepada francaisi.

Untuk menjaga keseragaman, francaisor akan mengawal perniagaan francaisi. Kadang-kala, tindakan ini menghalang francaisi untuk bebas berniaga. Berikut adalah beberapa perkara berkaitan perjanjian francais:

4.2.1   Pemilihan Lokasi 

Francaisor akan memilih lokasi yang difikirkan sesuai dengan perniagaannya dan lokasi tersebut mungkin tidak sesuai dari sudut pandangan francaisi. Di dalam banyak kes, francaisi akan mencadangkan lokasi kepada francaisor. Francaisor akan melawat lokasi tersebut dan memberi pendapatnya samaada sesuai atau tidak. Jika tidak, Francaisor akan membantu mencari kawasan yang difikirkan strategik.

4.2.2   Hiasan Dalaman & Konsep Perniagaan

Terdapat francaisor yang akan menukar hiasan dalaman dan konsep perniagaan mengikut musim. Jadi, kos renovasi dan pengubahsuaian tersebut mungkin tidak mampu untuk ditanggung oleh francaisi. Kebiasaanya, francaisor akan selalu menukar konsep perniagaan, uniform & sistem komputer.

4.2.3   Kawalan Penjualan Produk dan Perkhidmatan 

 Francaisor akan mengawal setiap produk dan perkhidmatan perniagaan francaisi. Jadi, francaisi tidak boleh menjual produk / perkhidmatan selain daripada francaisor. Ada juga kes dimana francaisor menghadkan bilangan stok yang dijual. Misalnya baju saiz S, francaisor hanya membekalkan 10 helai sahaja.
 Apabila baju tersebut habis, francaisi menempah dari francaisor tapi francaisor tidak memberi stok yang diminta. Apabila berlaku kes sedemikian, francaisi boleh cuba minta stok dari francaisi lain. Pastikan juga francaisor membenarkan anda mengambil stok dari francaisi lain. Kes seperti ini tidak dinyatakan dalam perjanjian francais. Jadi, francaisi perlu berhati-hati.


4.2.4   Kawalan Dalam Menggendalikan Operasi Perniagaan 

 Francaisor mengawal waktu operasi perniagaan, uniform pekerja, iklan serta promosi dan juga prosedur perniagaan. Harga jualan juga dikawal sehingga francaisi tidak dapat memberi diskaun kepada pelanggan. Pengedar juga perlulah dari pengedar yang diluluskan oleh francaisor, walaupun francaisi boleh mendapatkan barang dari pengedar yang lebih murah. Dicadangkan agar francaisi mencari francaisor yang memberi ruang untuk kemukakan idea francaisi sendiri dan memberi kebebasan untuk francaisi berniaga demi perniagaan mereka.

4.2.5   Kawalan ke atas Hak Wilayah (Territorial Rights) 

Kawalan ini untuk menggelak daripada bersaing dengan francaisi lain. Selain itu, ia juga bertujuan untuk menghalang francaisi membuka cawangan lain atau berpindah ke lokasi lain. Francaisor juga ada hak untuk menghalang francaisi membuat website sendiri.

4.3      Pemilihan Francaisor perlu dilakukan dengan teliti.

Kelemahan akta dan peraturan sedia ada menjadi duri dalam daging kepada pembangunan industri francais di Malaysia dan perlu dicungkil segera supaya tidak menjejaskan kemajuannya.Kelemahan-kelemahan yang ada telah memburukkan imej sistem francais sehingga dilihat sebagai sistem yang menipu dan banyak pihak yang tertipu terutamanya usahawan baharu, kata sebuah syarikat perunding francais tempatan. 
Keadaan berkenaan timbul kerana ketiadaan dokumen zahir atau prospektus disediakan untuk membolehkan pemohon (bakal francaisi) mengetahui maklumat terperinci tentang francaisor dan produknya.Apa yang berlaku sekarang, perkara tersebut dipandang ringan serta ketiadaan garis panduan khas disediakan kerajaan menyebabkan penyediaan prospektus dilakukan secara sambil lewa dan bakal mengundang masalah.
Permasalahan ini menyebabkan sistem francais dipalitkan dengan kecaman-kecaman yang negatif sehingga membantutkan usaha untuk mengembangkan sistem berkenaan.Perlu ada prospektus yang lengkap untuk memberikan penerangan sejelas-jelasnya kepada francaisi tentang latar belakang francaisor, prestasi kewangan, status perundangan, potensi francais dan beberapa maklumat lagi.
Jika semua maklumat ini tidak didedahkan, maka timbul masalah seperti francaisi tertipu dan mengalami kerugian selepas memeterai perjanjian francais,’’ kata beliau kepada Utusan Malaysia. Berdasarkan Akta Francais, prospektus perlu diserahkan 10 hari sebelum menandatangani dokumen dan tujuh hari waktu bekerja ditetapkan untuk masa menunggu sebelum proses disahkan.Sikap buruk usahawan atau bakal francaisi pula adalah tidak mahu membaca terma perjanjian terlebih dahulu dan pada masa yang sama pihak francaisor juga tidak memberikan penerangan secara terperinci tentangnya.Oleh itu, apabila timbul masalah, kedua-dua pihak akan saling menuding jari dan akhirnya yang dipersalahkan adalah sistem francais itu sendiri.
Francaisi juga mudah dikhianati oleh pihak francaisor yang tidak jujur dan tamak.Misalnya, pada peringkat permulaan, pihak francaisor memberi kebenaran dan hak pengoperasian perniagaan francais kepada francaisi terutamanya pengoperasian perniagaan itu berjalan di kawasan yang kurang membangun.Apabila perniagaan francais berkenaan di kawasan itu meningkat maju dan terkenal, pihak francaisor mengambil balik hak berniaga dan beroperasi sendiri.Tindakan pihak francaisor sedemikian tentu sekali merugikan francaisi yang telah bertungkus lumus untuk membangunkan perniagaannya.

4.4    Perlu komitmen yang tinggi daripada francaisi.

Masalah-masalah itu berlaku akibat francaisi tidak mempunyai pengetahuan dan persediaan yang cukup melibatkan diri dalam perniagaan berkenaan.Kegagalan berlaku berpunca daripada sikap francaisi yang terlalu bergantung kepada francaisor sedangkan untuk berjaya dalam industri itu bukan mudah.  Francaisi bukan sahaja sekadar mempunyai keupayaan untuk mengeluarkan modal semata-mata sebaliknya perlu belajar dan memahami selok-belok perniagaan yang bakal diceburi.Francaisi perlu memenuhi pengetahuan dari aspek kewangan, simpanan, komitmen, kemampuan dari mental dan fizikal, memiliki kepercayaan kepada produk serta sentiasa menjalankan penyelidikan.

4.5     Penjualan produk yang ditetapkan sahaja.

Penglibatan serta penerusan pihak francaisi dalam perniagaan francais adalah tertakluk kepada peraturan dan sistem pengoperasian perniagaan yang telah ditetapkan oleh pihak francaisor. Ini secara tidak langsung akan menyekat tahap daya kreativiti dan inovasi francaisi terutamanya dalam aspek pengendalian perniagaannya.

4.6      Penamatan dan pembaharuan kontrak

Kontrak francais akan tamat sekiranya francaisi melanggar perjanjian francais. Kontrak ini sah untuk tempoh masa yang telah dipersetujui; tiada jaminan atas pembaharuan kontrak. 

4.6.1   Penamatan Kontrak 

Francaisor boleh menamatkan kontrak sekiranya francaisi gagal membayar royalti, gagal menunjukkan prestasi yang menguntungkan dan lain-lain sebab yang munasabah. Segala pelaburan francaisiakan hilang apabila kontrak tamat. Di Malaysia, setiap perjanjian francais adalah untuk 5 tahun. Adalah dinasihatkan francaisi untuk memastikan pulangan modal francaisi tidak sampai 5 tahun.Maksudnya, dalam tempuh 5 tahun pastikan anda mendapat semula pelaburan anda.

4.6.2   Pembaharuan Kontrak

Pembaharuan kontrak tidak berlaku secara otomatik. Segala terma dan syarat mungkin akan berubah. Antaranya kenaikkan kadar bayaran royalti, membuat pengubahsuaian kedai, menggurangkan hak wilayah dan kawalan atas jualan. Semua pembaharuan ini berkemungkinan untuk memberi peluang kepada francaisi lain.



5.0       KESIMPULAN
Industri Francais Malaysia menunjukkan perkembangan positif kerana menembusi pasaran global dan mampu bersaing dalam pasaran antarabangsa apabila 59 produk tempatan berjaya mengembangkan perniagaan di 53 buah negara. Kerajaan Malaysia memberikan fokus yang lebih kepada pembangunan industri francais di Malaysia sejak di bawah kepimpinan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mengorak langkah memperkenalkan francais pada 1993.

Industri ini mempunyai potensi yang besar tetapi tahap kesedaran rakyat Malaysia mengenainya masih kurang pada waktu itu. Pengguna pada ketika itu mengenali produk francais luar negara seperti KFC, Mc Donald’s, 7 eleven dan banyak lagi. Hasilnya, aliran tunai di dalam negara mengalir keluar melalui yuran dan royalti kepada francaisor atau pemilik jenama tersebut,” katanya.Bagaimanapun kini rakyat Malaysia memahami mengenai perniagaan francais dan setiap tahun penyertaannya semakin meningkat.

Setakat ini, jumlah francaisor tempatan adalah 29 peratus melibatkan Bumiputera dan 71 peratus adalah bukan Bumiputera. Francaisinya, pula kebanyakannya adalah Bumiputera. Produk tempatan terutamanya jenis makanan dan minuman mudah memasuki negara luar kerana jenamanya dan Malaysia adalah sebuah negara Islam.

Status halal yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) juga diiktiraf dunia dan memberikan kelebihan kepada usahawan francais tempatan untuk menerokai pasaran luar negara. Kelebihan yang dimiliki Malaysia seharusnya digunakan dengan sebaiknya oleh usahawan francais untuk memasarkan jenama mereka ke pasaran dunia terutama di Timur Tengah dan negara majoriti penduduk Islam.



Justeru itu, usahawan perlu berani keluar dari pasaran tempatan kerana pasaran dunia menawarkan potensi pertumbuhan jauh lebih baik apabila berjaya berada dalam pasaran antarabangsa.